Jumat, 12 September 2014

Hikayat Siak

HIKAYAT SIAK

§§ SEBERMULA, berapa lamanya kerajaan Sultan Alauddin Riayat Syah di atas takhta kerajaan, maka baginda pun mangkat. Maka diperintah akan Bendahara seperti adat yang telah sudah. Maka Raja Abdullah menjadi raja di atas takhta kerajaan di dalam negeri Johor, bergelar Sultan Hamat* Syah. Maka berputera seorang laki-laki bernama Raja Besar Muda. Dan Bendahara Paduka Raja mengampunya baginda.

Dan tiada berapa lamanya, Sultan Hamat pun mangkat. Maka diperintah akan Bendahara seperti adat yang telah sudah, dimakamkan di Kota Tinggi. Tengku Besar Muda mengganti akan kerajaan, raja di atas takhta kerajaan, bergelar Sultan Abdul Jalil Syah.

Berbini Peri, Kerajaan Tiada Perduli

Akan baginda, tiada boleh beristeri kerana berbini akan peri. Tiada diperduli akan kerajaan, pulang kepada Bendahara memegang perintah negeri. Akan baginda itu, gila dengan bini peri itu. Dan jika baginda melihat perempuan yang baik rupanya, datanglah benci sahaja, sebab peri itu dekat baginda.

Dan akan segala orang besar-besar, baginda tiada perduli. Dan yang memelihara akan baginda itu, orang besarnya, Sibija Wangsa namanya. Itulah yang memelihara baginda.

Tersebab Nangka, Sultan Bunuh Istri Megat Serama

Hatta, kepada suatu hari, Sultan Abdul Jalil Syah beradu siang hari. Maka datang orang persembah nangka. Dan kepada itu waktu, bini Megat Seri Rama masuk ke dalam, karena ia bunting tujuh bulan. Serta dilihat nangka itu, terlalulah ingin hendak makan nangka itu, tiada dapat ditahani rasanya. Maka bini Megat Serama pun datanglah, mendapat akan Penghulu Istana, mintak nangka barang satu hulas.

Maka fikir Penghulu Istana, "Dari sebab ia buntinglah, maka sangat berkehendak ini." Maka lalu diambil akannya satu hulas. Maka dimakannyalah. Setelah sudah, maka baginda pun bangun dari beradu. Maka segala penjawat pun datang, membawak akan air basuh muka di dalam kendi emas dan sangku perak. Maka baginda pun berbasuh muka, lalu semayam di atas peterakna; lalu terlihat kepada nangka, lalu baginda suruh ambil.

Maka Penghulu Istana pun datang, membawak akan nangka. Lalu dipersembahkannya, mengambil satu hulas, memberi bini Megat Serama, kerana ia mengidam hendak makan nangka. Tatkala itu, baginda di dalam tiada ingat, kepada waktu bulan baharu timbul.

Setelah baginda mendengar sembah Penghulu istana, maka baginda pun tertawah. Titah baginda, "Suruhlah panggil bini Megat Serama itu, aku hendak melihat anaknya, iakah yang makan nangka itu." Maka dipanggillah bini Megat Serama itu. Maka ia pun datang. Maka lalu dibelah perutnya. Dan itu anak yang di dalam perut itu mengisap nangka itu. Maka bini Megat Serama pun mati.

Dendam, Megat Serama Mufakat Derhaka dengan Bendahara

Dan kedengaranlah khabar kepada Megat Serama bininya mati, dibunuh Yang Dipertuan, tiada dengan satu salahnya. Maka Megat Serama pun mengampungkan anak buahnya, muafakat hendak derhaka.

Maka Megat Serama pun pergi mendapatkan Bendahara Paduka Raja, lalu ia berdatang sembah kepada Datuk Bendahara, mengatakan bininya sudah mati, dibunuh oleh Yang Dipertuan. Diceritakannya pada mulanya, datang kepada kesudahan. Maka kata Megat Serama kepada Bendahara, "Jikalau Datuk hendak berhamba kepada hamba Datuk, dan hamba Datuk derhaka sekali ini. Dan jikalau Datuk hendak menjadi raja, kepada inilah waktu."

Maka lalu Bendahara bersabda, "Nantilah, beta hendak mufakat dengan Temenggung dan Seri Bija Diraja." Maka Serama pun kembali.

Dan Datuk Bendahara pun memanggil Temenggung, saudara oleh Bendahara. Maka Bendahara pun bicara dengan Temenggung, menentu akan hal Megat Serama, datang, hendak menderhaka. "Dan adalah seperti Duli Yang Dipertuan, tiada boleh kita pertuan, kerana kita ini berajakan orang yang gila. Dan semuanya segala orang di dalam negeri, tiada suka. Terlebih baiklah kita hikut* akan kehendak Megat Serama."

Dan kata Temenggung, "Berkat dengan Datuk Bendahara, dan jikalau Datuk menjadi raja, sahaya menjadi Yamtuan Muda, maka sahaya mahu. Sahaya tiada mahu menjadi Bendahara."

Maka Bendahara pun bicara dengan orang besar-besar, mengajak muafakat. Dan yang tiada tahu akan bicara Bendahara hanyalah Datuk Sibija Wangsa, kerana ia hulubalang di dalam tanah Johor, tiada bandingnya. Dan Bendahara pun memanggil Megat Serama. Maka ia pun datang mengadap Bendahara. Maka Bendahara pun berkata, "Bagaimana pakat kita? Adalah Datuk Sibija Wangsa itu, hampir sangat [dengan] Kebawah Duli Yang Dipertuan. Dan jikalau tiada mati ia, dapat susah kita hendak derhaka."

Dan lalu Megat Serama berdatang sembah, "Mudah sahaja itu bicara. Dan hendaklah Datuk buat akal, dan suruh panggil Sibija Wangsa, katakan, titah Duli Yang Dipertuan menyuruh buang."

Difitnah, Sibija Wangsa Disuruh Buang

Dan sudah habislah muafakat, kepada hari esok, lalu Bendahara menyuruh memanggil Sibija Wangsa. Maka Datuk Sibija Wangsa pun datang, mendapatkan Bendahara. Dan Datuk Bendahara mengatakan, "Titah Duli Yang Dipertuan kepada orang, disuruh buang, kerana Orang Kaya derhaka."

Maka terkejutlah [ia], seraya berkata, "Sahaya ini sekali-kali tiada hendak derhaka kepada Duli Yang Dipertuan. Baiklah Datuk persembah akan kepada Duli. Sahaya hendak mengadap sendiri. Jikalau Duli Yang Dipertuan hendak membuang sahaya juga, melainkan sahaya sembahkan nyawa sahaya, kerana tiada adat hamba Melayu derhaka dengan tuannya."

Maka Bendahara pun bersabda kepada Seri Bija Wangsa, "Tiada boleh Orang Kaya mengadap, kerana Duli Yang Dipertuan sangat murka." Dan Datuk sembahkan juga. Dan lalu Bendahara menyuruh orang mengadap, kerana Bendahara sudah muafakat dengan orangnya [yang] disuruh itu. Kemudian, datanglah orang itu mengadap Bendahara, "Titah disuruh buang juga. Tuanku tiada dapat ampun lagi."

Setelah didengar oleh Seri Bija Wangsa, maka ia berkata kepada Bendahara, "Jikalau sahaya mati, Duli Yang Dipertuan tentu tiada kekal menjadi raja, kerana sahaya sekali-kali tiada niat derhaka. Dan lagipun, sudahlah sampai ajal bilangan kepada ini hari, hendak mati syahid, teraniaya. Dan hendak mengabiskan segala dosa yang telah sudah. Dan kepada akal sahaya, Datuk pun tiada lama juga memerintahkan Johor ini. Kematian seperti sahaya juga. Datuk kedua bersaudara dapat balasan dari pada* Tuhan Wahid ul-Qahhar, adanya. Dan hendaklah Datuk kerjakan titah Duli Yang Dipertuan, jika sungguh titah baginda. Jikalau tiada sungguh, di batang leher Datuk menanggung dia." Maka sabda Bendahara, "Sungguh Orang Kaya, tiada beta berbuat dusta."

Sibija Wangsa Dibunuh dengan Kerisnya Sendiri

Dan Seri Bija Wangsa dibawa naik ke atas balai, dibentangkan langit-langit, bagaimana adat orang yang dahulu kala. Maka tiada diambil keris. Dan Bendahara menyuruh salang Seri Bija Wangsa, lalu disalang, tiada lut. Maka dipegangnya hulu kerisnya. Maka orang yang banyak habislah berterjunan lari, takut akan Seri Bija Wangsa mengamuk. Dan lalu dipanggil oleh Seri Bija Wangsa orang yang lari, "Dan tiada adat hamba raja Melayu derhaka dengan tuannya, dan tuanku tiada mungkir akan perjanjian dengan hambanya; dan kepada hari ini, duduk mati, berdiri mati, tidur pun aku mati. Baiklah aku disebarangkan orang adanya."

Maka lalu ia berkata, "Jikalau tiada aku takut derhaka, nescaya busuk bangkai di dalam negeri Johor, dan seorang [pun] tiada aku malui segala menteri di dalam Johor ini, barang siapanya, hanyalah Duli Yang Dipertuan. Itulah tuanku dunia akhirat." Maka lalu diunjuk akan kerisnya, sambil diludahnya, "Lain dari kerisku ini, tiada isi di dalam Johor ini makan dagingku ini." Lalu diunjuk akan kepada orang yang menyalang dia itu. Maka lalu disalangkan oranglah. Maka Seri Bija Wangsa pun matilah. Maka ditanamkan oranglah bagaimana adat Orang Besar-besar. Demikianlah diperbuat orang. Dan akan Seri Bija Wangsa mati, seorang [pun] tiada mahu persembahkan kepada Duli Yang Dipertuan.

Hatta, Bendahara pun mufakat dengan Megat Seri Rama, yang cakap mendatangkan tangan kepada Duli Yang Dipertuan. Maka kata Megat Seri Rama, "Sahayalah Datuk, mendatangkan tangan kepada baginda itu, dan kepada hari Jumaatlah kita bekerja."

Baginda Birahi, Mahnikam Tumpah ke Tikar, Encik Apung Hamil

Dan syahadan, Yang Dipertuan Sultan Abdul Jalil Syah, kepada malam itulah baginda mintak buatkan nasi rendam. Dan kepada itu malam, baginda hendak beradu, lalu memanggil Encik Apung, anak Laksamana, disuruh memicit kaki baginda. Kepada masa itu, bini peri itu sudah pergi, diketahuinyalah akan baginda itu mangkat.

Dan kepada waktu dinihari, baginda datang berahi, maka terpancarlah mahnikam itu ke tikar. Dan baginda bertitah, "Hai Apung, jikalau engkau hendak berputera dengan kita, telanlah olehmu, dan kandunglah rahasiaku; supaya adalah benih Raja Iskandar Zulkarnain di dalam Tanah Melayu ini, jangan putus nasabku." Maka segera diambillah oleh Encik Apung itu akan mahanikam itu, lalu ditelannya. Dengan takdir Allah Taala berlaku kepada hambaNya, dengan seketika, Encik Apung pun hamillah. Maka hari pun sianglah. Dan baginda pun lupa hendak santap nasi rendam.

Baginda Mati Diparang Megat Seri Rama

Dan waktu sembahyang Jumaat pun sampailah. Dan penjulang baginda pun sudah sedia. Maka baginda pun naik julang, lalu berangkat [berangkat] sembahyang Jumaat. Serta sampai di pintu gerbang, maka Bendahara, segala Orang Besar-besar menanti. Maka Megat Seri Rama pun datang, lalu berdatang sembah, katanya, "Patik derhaka, tuanku," lalu diparangnya, kena hulu baginda, keluar darah putih, memancar seperti santan dan kulit kepala menudung ke muka, dan baginda pun bertitah, "Hai, Megat Seri Rama, engkau derhaka."

Baginda mintak lepas akan kepada orang yang menjulang dan [baginda] dilarikan oleh orang [yang] menjulang. Maka lalu ditikam baginda, penjulang pun mati. Dan baginda sampai di tanah. Maka Megat Seri Rama datang, lalu ditikamnya baginda, lalu kena rusuk baginda. Maka Megat Seri Rama pun larilah, dan dikejar oleh baginda, tiada dapat. Lalu dilotar baginda dengan kerisnya, kena celah jari kakinya. Maka Seri Rama kena bisa keris baginda itu, tiada terjalan lagi. Maka ditakdirkan Allah Taala, tumbuh rumput di celah lukanya, empat tahun, hidup tiada, mati tiada, menanggung seksa dan derhakanya.

Dan baginda pun lalu dibawak oranglah masuk ke dalam istana. Dan baginda pun memanggil imam dan khatib. Lalu baginda berahsia dengan imam dan khatib, membuat surat, mengatakan hal kematian baginda, "Jikalau ada anak cucu kita, hendaklah berikan sarat ini. Jikalau tiada tertahan oleh imam, hendaklah berikan kepada Si Apung, adanya." Maka baginda pun mangkat, lalu ditanamkan oranglah di Kota Tinggi. Itulah makam Marhum di Kota Tinggi sekarang ini, di Riun, Pasir Raja, di hulu Sungai Damar, Makam Tauhid, adanya.

Bendahara Jadi Yamtuan Besar

Maka Bendahara pun masuk ke dalam istana, memeriksa segala dayang-dayang, mana yang ada bunting, dirasa kepada bidan dan disuruh bersumpah, dan Encik Apung bersumpah, "Dan jikalau hamba Datuk bunting dengan Duli Yang Dipertuan, tiadalah hamba memandang anak hamba Datuk."

Dan Datuk Bendahara diangkat menjadi Yamtuan Besar, dan Temenggung diangkat Yamtuan Besar, Yamtuan Muda. Dan Bendahara itu ada anaknya, dijadikan Bendahara, dipanggil orang Bendahara Pekok. Dan Bendahara pun menjadi raja di dalam Johor. Dan Encik Apung diambil oleh Laksamana, ditaruhnya kepada tempat yang sunyi, kerana sudah diberitahu oleh Encik Apung kepada saudaranya. Dan Bendahara Pekok pun tiada mahu lagi jadi Bendahara. Dan anaknya yang tuha dijadi akan Bendahara oleh Yamtuan Besar, dan yang tengahnya dijadikan Temenggung, dan bongsunya dijadikan Raja Indera Bongsu.

Encik Apung Melahirkan, Anaknya Dipelihara Temenggung Muar

Hatta, tersebutlah perkataan Encik Pung.* Setelah sudah, hendak beranak. Maka disorokkan oleh Laksamana. Sampailah sudah, berputera seorang laki-laki, terlalu baik parasnya. Waktu sudah keluar baginda itu, maka disuruh larikan oleh Encik Pung. Dia tiada mahu memandang puteranya itu, teringat akan sumpahnya dengan Bendahara. Dan Laksamana mencari orang yang boleh menyusui, yang boleh menanggung rahsia.

Dari kepada itu, Laksamana mencari akal, hendak melepaskan anak raja itu, keluar Negeri Johor itu. Dan Laksamana pun pergi ke Selat Singapura, mendapatkan Raja Negara Selat. Dan Laksamana pun berbicara dengan Raja Negara, "Dan bagaimana bicara saudara kita, jikalau ada putera Duli Yang Dipertuan Marhum Mangkat Dijulang, mahukah saudara hamba memelihara akan dia? Kerana tuan oleh kita."

Dan Raja Negara pun berkata, "Jikalau jalan kerosakan, sahaya-sahaya sekalian reda juga, oleh sebab tuan kita yang asal." Maka kata Laksamana, "Sahaya mintak hantar akan kepada Temenggung Muar," kerana, Temenggung Muar itu pangkat saudara oleh Laksamana, "dan, bawaklah surat sahaya." Setelah itu, Laksamana pun kembali ke Johor.

Maka Raja Negara pun datanglah ke Johor, mendapatkan Laksamana. Maka Laksamana pun memberikan anak raja itu dengan yang menyusu dia. Maka Raja Negara pun berlayarlah, lalu masuk Muar, mendapatkan Temenggung Muar, memberikan surat itu. Setelah terbaca, maka Temenggung Muar pun menangis, lalu menyuruh mengambil anak raja itu ke perahu, dipeliharakan Temenggung seperti anaknya sendiri. Dan satu orang pun tiada yang tahunya. Dikatakan anak Raja Negara, diambilnya anak.

Makan Rumput dan Muntah Darah

Setelah sampai tujuh tahun, maka waktu Temenggung Muar pergi mengadap ke Johor, dibawaknya anak raja itu, dipertemukannya dengan Laksamana. Dan serta sampai Temenggung Muar di Johor kepada Laksamana, maka diambil Laksamana.

Dan selama anak raja itu di Johor, sehari-hari ia pergi bermain di makam paduka ayahanda di Kota Tinggi. Dan segala budak-budak mengikut pergi. Serta sampai di makam itu, anak raja itu makan rumput, dan budak-budak lain hendak mengikut, semuanya muntah akan darah.

Menjadi lahirlah khabar itu. Maka kedengaranlah kepada Yang Dipertuan Muda, orang menyembahkan, ada budak, rupanya bagaimana pinang dibelah dua dengan paduka marhum yang mangkat. Dan segala budak-budak hendak mengikut, tiada boleh naik ke atas makam itu, sakit, muntah akan darah.

Dicari Yamtuan Muda, Tuan Bujang Dilarikan Nakhoda Malim

Dan Yamtuan Muda pun menyuruh mencari budak itu. Maka kedengaranlah kepada Laksamana, mengatakan hal anak raja itu, sudah diketahui orang. Maka Laksamana mufakat dengan Raja Negara, mengatakan hal anak raja itu, sudah diketahui oleh Yamtuan Muda. "Baiklah kita suruh larikan. Jikalau saudara kita, Temenggung Muar, membawak ke Muar, nescaya tahu juga orang, kerana anak raja itu sudah dikenal orang." Maka Temenggung Muar pun menyerah akan bicara kepada Laksamana.

Maka Laksamana pun mencari orang yang boleh membawak anak raja itu. Dan ada nakhoda, orang Minangkabau, Nakhoda Malim namanya, bersahabat dengan Laksamana. [Maka Laksamana pun] fikir, "Baiklah aku beri akan anak raja ini, boleh dibawaknya." Maka Laksamana pun lalu memanggil Nakhoda Malim. Dan Laksamana pun berkhabar kepada Nakhoda Malim, mengatakan segala rahsianya, dan ceritanya, [bahawa] anak raja itulah putera Marhum Mangkat Dijulang. "Dan anak raja inilah, sahaya mintak, tolong peliharakan baik-baik. Dengan mudah-mudahan, Allah Taala beri, dapat beruntunglah nakhoda."

Dan Nakhoda Malim pun terlalu suka. Maka Nakhoda Malim pun menerimalah bicara. Maka Nakhoda Malim pun bersiap perahu. Setelah siap itu perahu, maka anak raja itu pun diambil oleh Nakhoda Malim, dan lalu dibawaknya berlayar masuk Negeri Jambi. Maka Nakhoda Malim memanggil nama[nya], Tuan Bujang. Dan Nakhoda Malim itu orang Pagaruyung.

Tuan Bujang Dibawa ke Pagaruyung

Tiada berapa lama di Jambi, Nakhoda Malim pun naik ke Pagaruyung. Dan Tuan Bujang pun dibawaknya oleh Nakhoda Malim, dibuat seperti anaknya. Dan tiada berapa lamanya, maka sampailah ke Pagaruyung. Dan Nakhoda Malim pun pergi mengadap Yamtuan Sakti, bersama-sama dengan Tuan Bujang. Serta sampai, lalu menyembah Yamtuan Sakti.

Maka baginda pun bertitah, "Sudah lamalah [sudah] engkau pergi ke lahut. Dan ini, anak siapa yang engkau bawak ini? Terlalu baik sikapnya, seperti anak raja-raja rupanya." Dan Nakhoda Malim pun datanglah menyembah akan hal-ehwalnya asal Tuan Bujang itu, anak raja, putera oleh paduka adinda Yang Dipertuan Johor. Akan ayahanda baginda, yang dibunuh oleh Bendahara.

Setelah didengar oleh Yamtuan Sakti akan kata Nakhoda Malim itu, maka terlalulah sangat sukacita baginda, lalu dipintaknya kepada Nakhoda Malim. Maka sembah Nakhoda Malim, "Sepatut-patutlah tuanku memelihara paduka anakanda ini," lalu dibawaknya mengadap paduka bonda baginda, Puteri Jilan. Maka Puteri Jilan terlalu sukacita melihat cunda baginda datang itu, kerana Puteri Jilan terus mata akan Tuan Bujang itu, putera Raja Johor. Maka Puteri Jilan bertitah kepada paduka anakanda Yang Dipertuan Sakti, "Dan seperti Si Buyung ini, sangat bertuahnya, peliharakan baik-baik, kerana terlalu kasihan aku akan dia, kerana tiada bapaknya. Dan dialah yang membalaskan kematian ayahnya."

Maka diamlah ia di Pagaruyung. Dan sehari-hari ia naik bermain-main ke atas peterakna itu. Maka dilarangkan oleh dayang-dayang, takut ia tulah. Maka kata Puteri Jilan, "Jangan dilarangkan Si Buyung itu, ia hendak melihat mahkotanya. Ialah yang warisnya, dan tiada ia tulah, kerana ia anak adikku, di Johor." Dan bermainlah ia bersama-sama dengan anak Yamtuan Sakti.

Mengembara ke Batanghari, Pembawa Tepak di Palembang

Dan Tuan Bujang pun sampailah umur tiga belas tahun. Maka Tuan Bujang pun mintak pergi ke Batanghari, hendak mencari ilmu. Maka dilepas akan Puteri Jilan. Maka Tuan Bujang pun turunlah, menumpang orang Minangkabau, orang Pagaruyung. Dan berjalan sampai ke Tambang, dan lalu ke Limun, Batanghari. Serta sampai di situ, maka Tuan Bujang pun hendak pergi ke Rawas, hulu Palembang. Dan Tuan Bujang pun sampailah ke Rawas, lalu hilir ke Palembang.

Dan Tuan Bujang datang mengadap Sultan Lema Abang dan bertemu dengan Sultan Lema Abang, lalu Tuan Bujang berdatang sembah, hendak berhamba akan dirinya, mengula. Maka Sultan Lema Abang pun terlalu sukacita melihat sikap Tuan Bujang itu. Maka dipeliharakan sultan. Jika sultan berjalan atau dihadap orang, akan Tuan Bujang membawak tepak.

Dan selama Tuan Bujang membawak tepak, sultan tiada boleh duduk di atas, kegatalan pantatnya; jikalau berjalan dahulu, sultan tiada terjalan, seperti ada orang memegangkan. Dan Sultan Lema Abang pun hairan, lalu bertitah, "Selama budak ini membawak tepakku ini, tiadalah sedap tubuhku, sakit sahaja."

Berlayar ke Johor

Dan tiada berapa lamanya, Sultan Lema Abang berkelahi dengan Sultan Anum dan Sultan Agung, bapak saudara oleh Sultan Lema Abang. Maka Sultan Lema Abang pun hundurlah, keluar dari Palembang. Tuan Bujang bersama-sama, mengikut. Dan lalu berlayar ke Johor, maksud hendak meminang anak Raja Johor. Sultan Lema Abang pun masuk mengadap Raja Johor dan Tuan Bujang pun sama-sama membawak tepak.

Dan serta sampai di balai, Tuan Bujang duduk di atas bersama-sama dengan Sultan Palembang. Dan Yamtuan Muda melihat rupa Tuan Bujang serupa dengan Marhum yang Mangkat Dijulang Kota Tinggi, dan bercahaya-cahaya mukanya. Maka Yamtuan Muda berkata, "Anak siapa yang duduk bersama-sama dengan sultan ini?" Maka kata Sultan Lema Abang, "Anak orang Palembang, sahaya ambilkan." Dan hati Yamtuan Muda pun tanpa rasanya. Kepada fikir hatinya, "Bukan anak orang Palembang." Maka Sultan Palembang pun kembali ke perahu. Dan kepada niat hatinya, hendak meminang anak Yamtuan Besar Johor.

Tersebutlah perkataan Yamtuan Johor itu. Waktu dia sudah menjadi raja, maka berbini dengan orang Aceh Pedir, beranak enam belas orang. Dan laki-lakinya dua orang, dan yang perempuan empat belas. Dan waktu dia lagi menjadi Bendahara, beranak seorang, itulah dijadikannya Bendahara di Pahang. Dan itulah keturunan Bendahara Pahang yang ada sekarang ini. Anak yang laki-laki, di dalam, menjadi raja, dinamakan Raja Sulaiman; seorang Raja Abdul Karim. Syahadan, ada kepada suatu hari, Yamtuan Johor berjumpa Sultan Palembang, makan. Maka Sultan Palembang terkentut di balairung. Maka kata Sultan Palembang, "Penyakit hendak keluar", tidak menjadi malu kepada orang Palembang.

Dan sudah kembali ke perahu, lalu ia menyuruh kepada Bendahara, bicara, hendak meminang anak Raja Johor. Maka Bendahara mengadap Yamtuan Johor, menyembah akan seperti maksud Sultan Palembang itu. Maka titah Yamtuan Johor kepada Bendahara, "Katakanlah kepada sultan, kepada ini waktu, kita mintak tangguh dahulu. Kemudianlah, barang bila ia sudah kembali ke Palembang, baharulah dia datang pula, boleh kita terima. Dan kerana anak kita belum sampai umurnya."

Maka Bendahara pun menyuruh memberitahu kepada sultan, menyatakan dari perkara itu. Dan sultan pun datang mengadap Yang Dipertuan, memberitahu hendak berlayar. Dan sultan pun bersiap perahu, lalu hilir di Kuala Batangan. Dan Tuan Bujang mintak bukakan batangan kepada rakyat kopit. Maka terapitlah tangan Tuan Bujang di kayu batangan. Maka Tuan Bujang pun marah, "Aku sula juga engkau itu, asal aku dapat Johor ini."

Maka perahu sultan pun berlayar, lalu ke Siantan. Lalu baginda Sultan Palembang berbini akan orang Dusun Sebanir, Cina masuk Islam, bapaknya naik haji. Lalu baginda Sultan Palembang nikahlah dengan anak haji [itu], bernama Yang Mariam. Akan Tuan Bujang, dikhatankan di Siantan itu.

Setelah baik, lalu berlayarlah. Dan sanak saudaranya ada tujuh buah rumah, mengikut sultan. Lalu berlayarlah masuk Bangkah Kota. Dan serta sampai di Bangkah, maka masuk Bangkah Kota, berhenti di situ, kerana sultan niat hendak melanggar Palembang, adanya. Syahadan, ada Raja Bugis, datang dari Bugis, hanyut ke Bangkah Kota, bernama Daheng Parani dan Daheng Calak. Maka bertemulah dengan Sultan Palembang. Maka Sultan Lema Abang bicara, mufakat hendak melanggar Palembang. Daheng Parani pun sukalah mengikut.

Hatta, maka tersebutlah perkataan, ada seorang besar, Wira Sentik, terlalu kayanya di dalam Palembang. Setelah didengarnya sultan ada di Bangkah Kota, dan kerana Wira Sentik itu sebelah bonda Sultan Lema Abang bersaudara dengan bapaknya, lalu ia berkirim surat kepada Sultan Lema Abang, "Dan hendaklah tuanku silakan masuk Palembang. Dari hal belanja, biarlah patik mengeluarkan. Dan jangan tuanku membawak Bugis, menjadi rosak negeri tuanku."

Setelah Sultan Lema Abang mendengar surat itu, terlalu sukanya. Maka sultan pun bersiap perahu tujuh buah gurab. Dan akan Daheng Parani, menanti akan berlayar juga, hendak mengiringkan. Maka kepada suatu malam, maka kata bini Sultan Lema Abang, "Baiklah tuanku masuk Palembang kepada malam ini, nescaya dapatlah tuanku menjadi raja." Akan Yang Mariam itu, terlalu bertuah, langit-langit hitam, adanya.

Maka Sultan Palembang pun turun semuanya ke perahu dengan harta dan perempuan sekalian, lalu hilir, berlayar masuk Palembang. Akan Daheng Parani, tiada tahu akan sultan sudah berangkat. Hatta, sultan pun mudik. Setelah sampai di Pulau Kelebar, maka sultan pun menyuruh memberitahu kepada segala anak buahnya. Maka segala saudaranya, perempuan, hilirlah mendapatkan sultan.

Dan khabar itu kedengaranlah kepada Sultan Anum. Maka Sultan Anum pun mengumpulkan orangnya, hendak menyuruh melanggar Sultan Lema Abang. Maka Sultan Lema Abang pun mudik, sampailah di negeri sultan, berhenti di Lema Abang. Dan Wira Sentik pun datang mengadap sultan. Maka ia pun berdatang sembah kepada sultan, "Dan jika tuanku kurang belanja perang, di atas patiklah yang mengeluarkan, asal tuanku boleh menjadi raja. Biarlah habis wang patik yang sepuluh laksa itu, patik sembahkan kepada duli tuanku."

Maka sultan pun bertitah kepada Wira Santik, "Yang kasih saudara kita itu, sepatut-patutnya kita terima." Dan kepada masa itu, akan orang Palembang, berbahagi dua. Dan yang sebahagi, sudah dapat oleh Sultan Lema Abang.

Maka Sultan Anum pun hendak mengutus ke Betawi, mintak tolong kepada Kompeni Olanda. Maka Sultan Anum menyuruh ke Betawi, membawak barang emas, ada setengah pikul, yang dikirimkan ke Betawi. Dan Sultan Lema Abang mendengar Sultan Anum menyuruh ke Betawi. Maka Sultan Lema Abang berbicara dengan Orang Besar-besar. Maka sembah Orang Besar, "Kita pun menyuruh juga ke Betawi." Maka sultan pun menyuruh pergi ke Betawi, membawak surat dan satu cembul emas. Maka dibawaklah menterinya belayar.

Hatta, utusan Sultan Anum pun sampai ke Betawi. Maka utusan Palembang disambut oleh jenderal. Dan kepala dua belas pun berkumpullah di gedung, bicara. Maka surat pun dibaca, dan serta bingkisan emas, harga lima ribu. Maka belum putus kepada hari itu. Hatta, datanglah pula utusan Sultan Lema Abang, lalu disuruh sambut oleh jenderal. Dibawak oranglah surat dengan cembul emas itu ke hadapan Orang Besar-besar itu. Maka lalu dibuka oleh jenderal. Maka dilihat oleh segala Orang Besar-besar yang di dalam cembul itu, rambut dengan kuku dan daging, sudah kering. Dan mendengar perkataan dalam surat itu, terlalu suka hati jenderal. Dan yang dua belas melihat di dalam cembul, maka masing-masing mengempas akan cepiaunya.

Maka kata jenderal, "Bagaimana bicara kita, Sultan Anumkah dengan Sultan Lema Abang, siapa yang kita tolong? Akan orang yang menyerahkan dirinyalah kita tolong." Itu hari juga putus bicara. Dan surat Sultan Anum pun dibalas, "Boleh kita suruh kapal perang pergi di Palembang." Dan surat kepada Sultan Lema Abang, "Di dalam surat, sahabat kita mintak tolong kepada kita, seboleh-bolehnya kita tolong. Nanti, kapal perang datang ke Palembang. Jangan sahabat kita susah hati." Maka utusan kedua [pun] kembali ke Palembang.

Dan utusan Sultan Anum pun datang. Maka disambut itu surat, lalu dibaca. Sultan suka hati mendengar kapal perang hendak datang. Dan tiada berapa lama, utusan Sultan Lema Abang pun datang, surat dari Betawi, disambut, lalu dibaca. Maka Sultan Lema Abang pun diam. Dan tiada berapa lamanya, maka kapal perang pun datang, masuk Palembang, empat ratus orang sordadunya. Dan kapal pun mudiklan.

Maka Sultan Anum pun menyuruh menyambut kapal itu, sampailah di negeri. Dan kapitan, belum ia naik mendapatkan Sultan Anum. Dan kepada waktu tengah malam, orang sudah sunyi, maka kapitan kapal pun naik; mendapatkan Sultan Lema Abang. Tiada orang yang tahu. Setelah bertemu, maka kata kapitan kapal, "Bagaimana bicara tuan sultan dengan Kompeni Olanda? Dan bagaimana kehendak sultan mintak tangkapkan, mesti kita tangkap?"

Maka kata Sultan Lema Abang, "Kita mintak tangkapkan, kita hendak buang ke Belida, dalam Palembang." Maka kapitan kembali ke kapal. Pada hari esok, kapitan naik, mendapatkan Sultan Anum. Dan kapal pun di dekat di lahut kota. Dan kapitan bicara hendak membawak sordadu naik ke darat, kerana terlalu lama di lahut. Sultan pun menyuruh naik akan sordadu, dan kapitan memberi perintah kepada letenan, "Barang bila naik sordadu, hendak[lah] tangkap Sultan Anum."

Maka letenan membawak sordadu naik, masuk ke dalam kota. Maka Sultan Anum pun ditangkapnya, lalu diserahkan kepada Sultan Lema Abang, lalu disuruh hantarkan ke Belida. Dan Kompeni Olanda [pun] membuat loji di Palembang. Dan Sultan Palembang berperjanjian dengan Kompeni Olanda, Sultan Lema Abang. Dan itulah, maka Kompeni Olanda duduk di Palembang, sampai masa akhir ini. Dan Sultan Lema Abang tetaplah di atas takhta kerajaan di dalam Palembang, adanya.

Maka Tuan Bujang bermohonlah kepada Sultan Palembang hendak mudik. Maka dilepaskan baginda Sultan Palembang dengan kasih sayangnya, dibekalkan dengan pakaian keemasan dan keris kebesaran. Maka Tuan Bujang mudik ke Rawas. Maka Tuan Bujang berbini dengan anak Dipati Batu Kucing. Dan tiada berapa lamanya Tuan Bujang duduk di Rawas itu, maka beranak seorang laki-laki, dinamakan Raja Alam.

Maka Tuan Bujang pergi ke Jambi, mendapatkan Sultan Maharaja di Batu, bersama-sama akan sultan berkelahi, berbuat kebesaran dengan sultan di Kedah. Maka berperanglah. Tuan Bujang masuk perang, lalu luka paha, kena peluru setinggar, paha kiri. Sultan Maharaja di Batu menang perangnya.

Maka Tuan Bujang pun naik ke Minangkabau, lalu ke Pagaruyung. Maka Tuan Bujang mengadap baginda. Maka terkejut [ia] melihat Tuan Bujang, lalu baginda bertitah, "Mengapa engkau lama di lahut?" Maka sembah Tuan Bujang, "Patik menengok cupak gantang orang." Maka baginda pun tersenyum, "Akan sekarang ini, apakah kehendak engkau?" Sembah Tuan Bujang, "Lebih-lebih maklum duli tuanku sahaja, mana titah."

Maka kata Puteri Jilan, "Kutahu kehendak engkau. Baiklah engkau turun ke lahut, ke Siak. Ambil olehmu Negeri Johor. Tuntut kematian ayahandamu." Maka tiada berapa lamanya, Tuan Bujang pun dinobatkan Yamtuan Sakti, sama-sama dengan anaknya sendiri. Dan titah Yamtuan Sakti, "Aku ini hendak menguji pesaka Minangkabau, betulkah anak saudara punya pesaka itu, tiada, baiklah aku nobat akan keduanya sekali."

Maka dipalu tabuh larangan, menyahut tabuh yang banyak. Maka berkampunglah orang dalam negeri, Menteri Yang Berempat, mengadap nobat. Setelah itu, dipukul akan gendang kulit tuma. Tuan Bujang memakai alat kerajaan oleh Puteri Jilan. Setelah sudah, maka Tuan Bujang bersandarlah kepada tiang teras kayu jelatang. Dan mahkota kerajaan pun diletakkan oleh Yang Dipertuan Sakti di kepala Tuan Bujang.

Maka Puteri Jilan pun berdiri, sambil beryang-yang, "Jikalau engkau asal putera saudaraku di Johor, salasilah daripada Sultan Iskandar Zulkarnain, nenek, nasab Nusirwan Adil, pancar Nabi Allah Sulaiman `alaihi wasallam, tiadalah dapat suatu apa-apa. Dan pesaka Minangkabau Si Bujanglah yang lebih." Dan adalah muka Tuan Bujang, seperti bunga raya kembang pagi, tiada dapat dipandang, bercahaya-cahaya. Dan empat anak menteri memegang tombak tetaran sakar jantan, kiri dan kanan.

Maka segala pegawai, Menteri Yang Berempat, Bendahara yang di Sungai Tarab, Makhdum di Sumanik, Enduma di Suroso, semuanya sujud menyembah, mengatakan, "Daulat Tuanku Yang Maha Mulia, kekallah dan kararlah di dalam tanah Melayu, menjadi raja besar!" Dan lalu diberi gelaran Yang Dipertuan Raja Kecik. Dan anakanda baginda naik, mahkota kerajaan tiada tahan, tersenget kepalanya. Maka dengan segera diambil oleh Yang Dipertuan Sakti mahkota itu, sambil baginda berkata, "Kalah oleh orang lahut, dan engkaulah aku namakan Raja Beralah."

Setelah sudah, berjamu segala orang besar, masing-masing bermohon pulang. Setelah kepada suatu hari, maka Puteri Jilan dan Yang Dipertuan Sakti pun membawak pedang kerajaan, asal bermula tanah Minangkabau, persembah Raja Kuantan, Sepurejab namanya. Dan Puteri Jilan memberi sepah dan rambut Puteri Jilan, panjang lima depa, dan kupang-kupang dua butir, dan cap satu. Dan tersebut di dalam cap itu, "Adalah anak kita, Yang Dipertuan Raja Kecik, turun ke tanah lahut. Dan hendaklah segala anak Minangkabau yang di lahut, yang selilit Pulau Perca, sungai diapit oleh pasang, dan kita pulangkan aib malunya anak kita yang menanggung malu anak Minangkabau. Dan jikalau anak Minangkabau tiada mahu menyerta ia, baik dan jahatnya Yang Dipertuan Raja Kecik, kena sumpah, kena bisa kawi. Dan jikalau orang Minangkabau tiada boleh mengiring [dan], hendaklah ia persembah rial dua puluh dan setinggar selaras, obat sekati."

Setelah habislah Yang Dipertuan Sakti memberi perjanjian itu, lalu diberi hulubalang empat orang, pertama Datuk Lebai Tasi, dan Datuk Gergaji, dan Raja Mendeling, dan Sutan Pendalihan. Dan baginda pun bermohon kepada Yang Dipertuan Sakti dan Puteri Jilan. Maka dipeluk dicium baginda dengan nenda baginda. Maka titah Puteri Jilan, "Selamatlah cucuku, tuan, sampai barang yang dihajati."

Setelah sudah, maka baginda pun turunlah. Tiada berapa lamanya, maka sampailah ke Siak, dan lalu pergi ke Bukit Batu. Dan baginda tiada meliharakan dirinya, lalu baginda membeli terubuk dan telurnya, lalu dibawak mudik ke Siak, berjual beli, pulang pergi. Kepada suatu hari, dapat salah kepada Bandar Bukit Batu. Maka dihukum oleh Bandar dua puluh rial. Maka baginda timbang. Maka baginda pun berdendam [dan], "Belum aku hirup darahnya Bandar Bukit Batu ini, belum puas hatiku ini."

Dan baginda pun pergilah melayarkan perahu orang, menjadi Nakhoda Penangguk [ke] Melaka. Dan baginda pun bersumpah, sampailah kepada anak cucunya, jangan menjadi Nakhoda Penangguk.

Dan baginda pun pergi ke Mengkalis, mendapatkan anak Minangkabau, kerana waktu itu anak Minangkabau banyak yang kaya-kaya, menaruh perahu besar-besar, lalu mendapatkan pengulunya. Dan cap itulah diberikannya kepada pengulu itu. Melihat cap dari Pagaruyung itu, titah Yang Dipertuan Sakti itu, yang turun ke lahut, tersebut seperti sumpah setianya itu, maka terkejutlah ia, serta takut akan baginda itu. Maka dikampungkan anak Minangkabau yang di dalam Mengkalis itu. Semuanya datang mengadap baginda, serta mengatakan, "Daulat Yang Dipertuan [yang] patik semua. Dan apa juga titah tuanku, patik sekalian kerjakan, selagi ada nyawa di dalam badan patik sekalian, tuanku."

Setelah [itu], lahirlah nama Yang Dipertuan, raja, turun dari Pagaruyung. Dan baginda pun berangkat pergi ke Batu Bahara. Dan anak Minangkabau banyak di situ. Baginda pun membuat Pengulu Yang Berempat, dan Tanah Putih, dan Kubu, semuanya mengikut baginda. Dan baginda berangkat kembali ke Mengkalis. Dan niat baginda hendak melanggar Johor.

Hatta, kepada waktu itu Raja Bugis pun datang ke Mengkalis, Daheng Parani, dan Daheng Calak, dan Raja Tuha. Lalu ia mendapatkan baginda, kerana sudah berkenalan dengan baginda, tatkala di Bangkah Kota; baginda duduk dengan Sultan Palembang. Dan serta bertemu dengan baginda, lalu berbicara, hendak melanggar Johor. Daheng Parani pun mintak perjanjian, jikalau dapat Johor, baginda menjadi Yang Dipertuan Besar; Daheng Parani menjadi Yang Dipertuan Muda.

Sudah putus mufakat, dan Daheng Parani mintak hendak pergi ke Langat, dan mengambil segala Bugis yang ada di sana. Dan barang bila esok, hendak pergi menyuruh membawak surat ke Johor kepada Yang Dipertuan Johor, mengatakan, paduka anakanda hendak menuntut kematian Marhum Mangkat Dijulang. Dan jikalau kota yang buruk, suruh baiki kota; yang parit tohor, suruh dalamkan.

Dan serta sampai surat itu ke Johor, maka Yang Dipertuan Johor pun mengampungkan segala orang besar-besar, mufakat, menyuruh membaiki kota, parit. Dan sudah masyhur khabar itu, mengatakan anak Marhum Mangkat Dijulang sudah keluarlah; segala rakyat pun datang, dibawak oleh Raja Negara Selat. Dan serta sampai, bertemu dengan Yang Dipertuan di Mengkalis, mengatakan tuan dari Johor. Dan segala Minangkabau mengatakan tuan dia, datang dari Minangkabau. Hatta, lalu berkelahi. Maka titah baginda, "Janganlah engkau berkelahi, sama-sama bekerjalah."

Dan baginda pun menyiapkan perahu, kecil besar. Setelah sudah, sampailah ketika yang sempurna, maka baginda pun berangkat ke Johor. Dan segala rakyat Selat, dan segala yang di lahut, semuanya mengiringkan baginda. Dan sampailah di Kuala Johor. Maka orang Johor pun gegerlah, mengatakan, "Tuan kita sudah datang!" Dan mana suku Laksamana, semuanya datang, mengadap baginda.

Maka kata orang Johor, "Jikalau betul asal tuan kami, mintak tawarkan air yang masin." Dan titah baginda, "Baiklah." Dan lalu diambil rotan, dilingkar, dimasukkan ke dalam air. Maka baginda beryang-yang, "Jikalau betul asal dari Raja Johor, hendaklah Allah taala tawarkan air yang masin, menjadi tawarlah." Lalu dimasukkan ke dalam lingkaran rotan itu. Maka segera diambilnya air itu. Dan masing-masing minum air itu, sangat tawarnya, lagi sejuk rasanya. Maka segala orang Johor pun bersoraklah, "Ialah, tuanku patik, Tuanku Yang Maha Mulia ini!" Dan banyaklah yang mengikut baginda. Dan baginda pun bertitah kepada segala rakyat, "Hendaklah kamu mengatakan ‘daulat’."

Maka baginda pun masuk ke Negeri Johor. Maka dibedil orang dari kubu Johor. Maka segala meriam pun keluar air kepada mulut meriam. Satu pun tiada berbunyi. Maka baginda pun mudik, didayungkan oleh segala rakyat, sambil bertimang, berakung, lalu ke Pangkalan Rama, di jambatan dalam. Maka baginda pun melompat naik ke atas jambatan. Baginda memegang pedang kerajaan yang bernama Sepurejab, telah terunus dari sarungnya. Setelah dilihat hulubalang yang berempat baginda seperti kilat melompat naik ke atas jambatan, maka hulubalang keempat sama melompat dengan pedang terunus, mengiringkan baginda, dengan segala Orang Besar-besar, masing-masing dengan pedang dan perisai, seperti hadamat bunyinya.

Setelah didengar oleh Yang Dipertuan Johor akan baginda itu sudah masuk kota, maka Raja Johor pun segera keluarlah dengan anakanda baginda, pulang di kampung Bendahara lama. Dan baginda pun sampai ke dalam kota, baginda masuk ke dalam istana, diiringkan empat hulubalang yang ternama. Sekalian Orang Besar-besar semuanya berhenti di balai, menanti akan titah baginda juga.

Setelah baginda sampai ke dalam istana, dilihat baginda tiada ada Bendahara. Maka titah baginda, "Ke mana pergi Bendahara, maka tiada ini?" Maka berdatang sembah Pengulu Istana, "Akan Datuk Bendahara, sudah lari, tuanku." Dan baginda pun keluar ke balairung, dihadap segala hulubalang, Orang Kaya-kaya semuanya; dengan senjata berkilat-kilat rupanya.

Syahadan, akan Yamtuan Muda pun mengamuk. Anak bininya habislah mati dibunuhnya. Tinggal seorang anaknya, perempuan. Niat hatinya, sudah habis mati anak bininya, hendak mengamuk ke dalam kota. Serta sudah ia membunuh anak isterinya, datanglah takut hatinya, lalu ia terjun, lari ke hutan kayu onak. Ia bersembunyi. Akan Yang Dipertuan Besar, "Tiada aku mahu lari, kerana besar sangat dosaku membunuh ayahanda baginda. Dan baiklah aku serahkan nyawaku, mana dengan perintah Yang Dipertuan." Maka ia pun datang, dengan tiada berbulang dan tiada berkeris, persembahkan nyawa.

Maka titah baginda kepada hulubalang baginda, "Tiada patut. Orang sudah menyerahkan nyawanya kepada kita, tiada patut kita bunuh." Dan tiada dibunuh baginda. Maka orang pun datang membawak khabar, mengatakan Yamtuan Muda sudah membunuh anak isterinya. Maka titah baginda kepada Bendahara, "Akan sekarang, bagaimana bicara ayah, mahukah mengikut bicara sahaya?" Maka sembah Bendahara, "Mana titah patik junjung." [Titah Raja Kecil] "Dan kepada fikir sahaya, ayah hendak sahaya jadikan ayah kembali, jadi Bendahara." Akan Yamtuan Muda, [di]suruh bunuh oleh Bendahara, sebab derhaka membunuh anak-isterinya, tiada dengan izin baginda.

Dan akan bonda baginda, Encik Apung, kembali ke rahmatullah taala, tiada sempat berpandangan dengan baginda. Setelah baginda mendengar bondanya hilang, lalu cucur air mata baginda. Maka segera baginda mendapat akan bondanya, lalu dicium baginda bonda baginda. Maka dikerjakan oranglah, seperti bertanam anak raja-raja yang besar-besar, demikianlah. Dan orang mengaji di makam bonda baginda empat puluh hari, dan tahlil, dan bersedekah baginda kepada fakir miskin. Demikianlah adanya.

Hatta, baginda pun mintak anak Bendahara yang bernama Tengku Tengah. Dan bertunanglah baginda dengan Tengku Tengah. Dan kepada waktu hari raya, dan semuanya anak Bendahara masuk ke dalam, menyembah baginda, hanyalah Tengku Tengah, tiada datang. Setelah baginda melihat Tengku Kamariah, yang bongsu sekali, maka hati baginda pun hendak akan Tengku Kamariah. Dan waktu menyembah itu, diambil baginda cincin di jari Tengku Tengah. Maka Tengku Kamariah pun menangis, mendapatkan ayahanda Bendahara.

Maka kata Bendahara, "Apatah daya kita, kerana Yang Dipertuan." Maka baginda pun menyuruh kepada Bendahara, mintak Tengku Kamariah, tiada jadi dengan Tengku Tengah. Maka sabda Bendahara, "Mana juga dengan titah, hamba turut." Maka suruhan itu pun kembali, dipersembah seperti sembah Bendahara itu.

Maka baginda pun dirajakanlah di Johor, bergelar Sultan Abdul Jalil Syah, Yang Dipertuan Besar. Dan baginda pun nikah dengan Tengku Kamariah. Dan tiada berapa lamanya di Johor, maka Daheng Parani pun datang menuntut janji, hendak jadi Raja Muda, "Kerana aku tiada mungkirkan janji, kerana adik yang meninggal akan aku." Dan segala hulubalang baginda tiada mahu memberi. Orang yang tiada merasa pahit maungnya, hendak dapat senang. Dan baginda pun mengikut mufakat dengan segala Orang Besar-besar. Maka baginda pun tiadalah menerima kehendak Daheng Parani itu.

Maka Daheng Parani pun marah. Dan didengar oleh Raja Sulaiman, Daheng Parani datang. Maka dipanggilnya oleh Raja Sulaiman, makan. Dan Tengku Tengah fikir di dalam hatinya, "Baiklah aku menyerahkan diri. Biar aku menjadi budaknya oleh orang Bugis, asal lepas maluku ini." Hatta, serta datang Daheng Parani, maka Tengku Tengah pun bicara dengan saudaranya, Raja Sulaiman, "Baiklah abang bicara dengan Raja Bugis, jikalau ia mahu menolong kita. Barang apa kehendak, kita turutlah."

Maka Daheng Parani pun bertemulah dengan Raja Sulaiman. Maka ia pun berbicaralah dengan Daheng Parani. Setelah itu, sudah putus bicaranya, maka bidai istana Raja Sulaiman digulung oranglah. Maka Raja Tengah pun berdiri di muka pintu, mengelepak subangnya. Lalu ia berkata dengan Daheng Parani, "Hai Raja Bugis, jikalau engkau berani, hendaklah tolong lepaskan malu aku. Dan jikalau sudah lepas maluku ini, sukalah aku menjadi hamba engkau, akan menjadi menanak nasimu. Dan apakah kehendak engkau, aku sekalian turut." Maka Daheng Parani pun bercakaplah, ialah melepaskan malunya. "Adikku, itu jangan susah hati." Maka Raja Sulaiman pun berjanji, "Jikalau dapat seperti maksud kita, adikku menjadi Raja Besar, aku menjadi Raja Muda."

Setelah sudah, maka Daheng Parani pun nikah dengan Raja Tengah. Dan Daheng Parani bicara hendak membuat Yang Dipertuan. Dan Raja Tengah pun hendak mencuri Tengku Kamariah.

Dan kepada satu malam, lepas waktu sembahyang maghrib, Raja Tengah pun masuk ke dalam kota. Dan waktu Duli Yang Dipertuan lagi tengah sembahyang Isyak. Dan isteri tiada boleh jauh, duduk dekat baginda juga. Dan Raja Tengah pun masuk dari penangga. Raja Tengah sampai di pintu tengah. Maka kelihatan Tengku Kamariah duduk dekat baginda, lagi sembahyang. Maka lalu dilambai oleh Raja Tengah. Maka Tengku Kamariah pun datang mendapatkan saudaranya, lalu dibawak oleh Raja Tengah turun. Lalu keluar kota, pulang ke istananya.

Maka baginda pun sudah sembahyang. Maka dipandang baginda isteri baginda tiada itu. Maka baginda pun bertanya, ke mana perginya, dicari, tiada di dalam istana itu. Maka baginda turun, bertanya kepada penunggu pintu. Maka sembah penunggu pintu, mengatakan, "Paduka kanda Raja Tengah yang membawak paduka adinda itu, tuanku."

Setelah baginda mendengar perkataan itu, maka baginda pun terlalu murkanya, lalu menyuruh memukul semboyan. Maka gemparlah segala orang. Berkumpullah segala hulubalang, mengadap baginda. Maka baginda pun menyuruh melanggar Datuk Bendahara, "Kerana dia memberi malu kita." Dan segala hulubalang pun pergilah melanggar Bendahara. Dan kepada malam itu juga, alah Bendahara, lalu Bendahara lari. Dan isteri baginda pun dapat. Dan Bendahara pun lari ke Pahang. Dan Daheng Parani ke Langat, mendapatkan segala orang Bugis, kerana hendak melanggar Johor.

Dan baginda memberi titah kepada Laksamana dan Seri Bija Wangsa, menyuruh mengikut Datuk Bendahara, lima buah perahu. Dan Laksamana pun pergi[nya] mengikut ke Pahang. Dan lalu bertemu dengan Bendahara di Kuala Pahang. Dan Laksamana pun mengadap Datuk Bendahara, menyampaikan titah baginda, "Paduka anakanda menyuruh menyilakan Datuk kembali ke Johor." Maka Datuk Bendahara pun bersabda, "Adalah beta ini, sudah banyak salah kepada Duli Baginda, kerana tiada patut sekali-kali beta mencuri isteri Duli Yang Dipertuan. Dan sekali-kali beta tiada tahu dengan perbuatan yang demikian itu; oleh sebab anak-anak yang sudah [ia] membuat, maka beta dapat malu. Dan itulah sebabnya beta tiada cakap lagi memandang muka baginda. Dan baiklah Laksamana bunuh sekali beta."

Dan Laksamana pun fikir dalam hatinya, "Jika Bendahara ini lepas, besar kelak bicaranya. Jika demikian, baiklah aku segerakan, kerana dosanya derhaka. Jika dengan [tiada] bicara Bendahara, tiada akan sampai duli marhum mangkat." Maka kata Seri Bija Wangsa, "Benarlah bicara tuan hamba itu. Hutang nyawa, bayar nyawa juga."

Setelah putuslah mufakat pegawai itu, maka Bendahara pun dikerjakan oranglah. Maka Bendahara pun sangat melawan. Delapan orang yang mati, dibunuh Bendahara. Dan Raja Tengah pun melawan, tiada dipedulikan[nya] orang, kerana ia perempuan. Dan Bendahara pun ditanamkan oranglah di Kuala Pahang, sampai sekarang [disebut] Marhum Mangkat [Di] Kuala Pahang.

Dan Laksamana dan Seri Bija Wangsa pun kembali ke Johor, membawak Raja Tengah. Dan Raja Sulaiman lari ke hulu Pahang, mendapatkan saudaranya, Bendahara Pekok. Dan Laksamana sampailah ke Johor. Maka baginda pun mendengar Bendahara mati itu, maka baginda pun menyesal menyuruh mengikut, sebab melihat isterinya menangis itu, sangat percintaan akan paduka ayahanda baginda.

Maka baginda pun fikir, "Baiklah aku pindah dari Negeri Johor itu, kerana negeri celaka, membunuh rajanya." Maka baginda bertitah kepada segala Orang Besar-besar, "Kita hendak pindah dari Johor ini, membuat negeri di Riau, kerana Negeri Johor ini celaka, hendak membunuh rajanya juga."

Dan lalu baginda mengimpunkan segala rakyat lahut dan darat, disuruh menebas serta membuat rumah, dan membuat kota istana, cukup dengan balainya. Dan serta sudah mustaid, maka baginda pun pindahlah ke Riau.

Dan ada satu tahun baginda duduk di Riau, maka Daheng Parani serta Raja Sulaiman datanglah, melanggar Riau. Dan baginda pun alah. Negeri Riau pun dapatlah oleh Bugis. Dan baginda hundur ke Lingga dengan satu perahu gurab.

Dan serta sampai di Lingga, maka diikut oleh orang Bugis, dikepungnya oleh orang Bugis. Maka baginda pun lepas keluar, lalu baginda belayar ke Riau. Dan baginda sampai di Riau, maka bertemu dengan perahu Bugis pendewakan, tiga buah. Dan lalu baginda amuk. Yang dua buahnya dilanggar baginda, maka dapat itu perahu. Dan perahu tiga buah itu modalnya selaksa.

Dan baginda pun kembali masuk ke Riau, dan segala anak Minangkabau lagi banyak di dalam Riau. Dan lalulah baginda masuk, mengamuk ke dalam kota. Maka Daheng Parani terkejut, lalu lari, mengatakan hal Yang Dipertuan Raja Kecik yang datang, kerana Daheng Parani itu terlalu malunya akan Yang Dipertuan Raja Kecik, kerana baginda itulah yang boleh melawan beraninya Daheng Parani itu.

Dan Bugis dengan Minangkabau tiada berhenti perang [waktu] duduk di dalam Riau itu. Dan sekali kubu benteng orang Melayu dapat oleh orang Bugis dan diambil pula oleh orang Minangkabau Melayu. Apabila penat berperang, berhenti damai.

Dan apabila baginda bertemu dengan Daheng Parani, sama-sama makan. Dan serta sampai kepada waktu hendak berperang, maka memberitahu sebelah-menyembelah, tiada tipu-menipu.

Dan kepada satu hari, datang seorang orang Mengkasar, namanya Encik Yahya, hendak perhambakan dirinya kepada baginda. Dan waktu Encik Yahya datang mengadap baginda itu sedang dihadap orang, penuh segala hulubalang, duduk di balai, mengadap baginda. Dan Encik Yahya pun datang, lalu naik ke balai.

Tatkala ia naik itu, kepala segala hulubalang baginda semuanya disapunya oleh Encik Yahya dengan tangannya. Maka segala hulubalang pun diam,* tiada terkata-kata. Hendak marah, takut, di hadapan baginda, hingga mukanya segala hulubalang itu merah, di tahaninya hatinya.

Lalu ia menjunjung Duli Baginda, lalu ia duduk di bawah sekali dari [ke]pada orang banyak itu. Maka baginda pun hairan melihat perbuatan itu. Maka diisyaratkan baginda kepada segala hulubalang, tiada diberi baginda marah itu. Maka segala hulubalang pun diamlah.

Maka titah baginda, "Siapa engkau ini, dan hendak mengapakah engkau ini?" Maka Encik Yahya pun berdatang sembah, "Patik datang ini hendak perhamba akan diri Kebawah Duli Tuanku. Akan patik ini, orang Mengkasar, dan Yahya nama patik."

Maka titah baginda, "Apa sebab maka engkau tidak malu kepada segala hulubalangku yang pilihan?" Maka sembah Encik Yahya, "Ampun tuanku, beribu ampun di atas batu kepala patik. Dan patik pun sudah tahu akan hulubalang segala, saudara patik sekalian. Akan tetapi, sebab terlebih oleh patik akan berani saudara patik ini dan kepada barang suatunya, tuanku. Dan jikalau tiada lebih, tiada berguna patik perhambakan diri patik Kebawah Duli. Sepatutnya tuanku salanglah patik."

Setelah baginda mendengar sembah Encik Yahya itu, maka baginda pun terlalu sukacita beroleh hulubalang yang pahlawan. Akan Encik Yahya itu, jikalau ia melompat duduk, dua belas depa jauhnya. Dan jika ditikam orang, seperti menikam bayang-bayang.

Dan kepada suatu hari, baginda pun melanggar Daheng Parani. Maka Daheng Parani pun tiada boleh tahan, lalu lari belayar ke Selangor. Dan sampai di Selangor, lalu membuat perahu tiga puluh buah gurab.

Akan tanah Linggi, di bawah perintah Duli Yang Dipertuan. Dan orang Bugis pun melanggar Kuala Linggi, dan pengulunya mintak bantu kepada baginda. Dan baginda pun bersiap perahu, pergi membantu Linggi. Riau pun tinggal perempuan sahaja. Baginda pun sampai di Linggi, lalu berperang dengan Bugis.

Dan Bugis membuat akal, pura-pura lari. Dan serta malam hari, segala perahu Bugis pun berlayar ke Riau. Maka Bugis pun masuk ke dalam Riau, lalu naik ke darat. Dan akan orang Riau, pada sangkanya perahu Yang Dipertuan, tiadalah ia peduli.

Dan segala yang naik Bugis itu, dengan senjata. Dan baharulah tahu akan musuh yang datang itu. Dan segala perempuan semuanya menangis belaka, kerana lakinya mengikut baginda belaka. Dan Riau pun dapat oleh Bugis.

Dan akan isteri baginda, dapat oleh Bugis. Dan waktu baginda pergi di Linggi itu, baginda dapat anak dengan gundik, seorang laki-laki, dinamakan Tengku Muda. Akan Tengku Kamariah, ditinggalkan baginda, bunting tiga bulan.

Dan Raja Sulaiman pun datang dari Pahang, lalu masuk Riau. Dan Raja Tengah pun marah akan saudaranya, Tengku Kamariah, disuruhnya cerai. Maka Tengku Kamariah tiada mahu. Dan Raja Tengah marah, mengata-ngata saudaranya.

Syahadan, tersebutlah perkataan baginda Yang Dipertuan, sudah mendengar, Riau sudah diambil Bugis. Maka baginda mufakat dengan segala hulubalang, "Baik kita langgar atau baik kita amuk?" Maka sembah hulubalang dan segala Orang Besar-besar, "Jikalau kita langgar, nescaya tiada dapat paduka adinda. Dan baiklah kita memberi surat kepada paduka adinda ke Riau.

Akan Duli Yang Dipertuan, naiklah ke Siak, membuat negeri dahulu, akan tempat kita duduk. Barang kita sudah tetap, barang mana titah Yang Dipertuan, patik kerjakan." Maka baginda pun berlayarlah ke Siak. Dan Bandar Bukit Batu pun lari ke Tapung Kanan. Dan baginda pun membuat negeri di Buantan.

Dan baginda memberi surat ke Riau, mintak isteri baginda kepada Raja Sulaiman. Dan waktu itu, Tengku Kamariah pun sudah berputera seorang laki-laki, dinamakan Tengku Buang. Dan ada bekas gundik baginda, orang Jawa. Itulah yang memeliharakan putera baginda itu dengan Tengku Kamariah.

Akan Raja Sulaiman, hendak memulangkan adinda baginda itu. Dan Daheng Parani tiada memberikan, dengan Raja Tengah tiada melepaskan. Niat Daheng Parani, hendak didudukkan dengan Daheng Calak. Dan berapa dipujuk oleh Raja Tengah akan adinda baginda itu, tiada juga ia mahu.

Maka datanglah Daheng Calak dengan Daheng Parani, mendapatkan Tengku Kamariah. Maka kata Daheng Calak, katanya, "Baiklah adikku berlaki dengan aku. Dan apa lagi adikku nanti Raja Kecik itu?" Maka Tengku Kamariah pun terlalu marahnya. Maka ia pun menangis, lalu dijawabnya kata Daheng Calak, "Baiklah abang, jikalau sudah janji daripada Allah taala, dan sahaya mintak isi kahwin sahaya. Jikalau abang dapat kepala laki sahaya; jika dapat, bolehlah kita nikah."

Dan Daheng Calak pun diam, tiada terkata-kata lagi. Dan Daheng Calak pun kembali. Dan Raja Tuha hendak menghantarkan Tengku Kamariah. Maka Raja Tuha marah kepada Daheng Parani, tiada patut satu raja membuat yang demikian itu.

Maka Tengku Kamariah memberi surat kepada paduka kakanda, "Dan jikalau paduka kakanda hendak mengambil paduka adinda, hendak ambil dengan perang. Jika tiada diambil dengan perang, tiada adinda mahu."

Dan surat itu pun sampailah ke Siak. Setelah dilihat baginda surat daripada paduka adinda itu, maka baginda pun terlalu marah. Lalu baginda mengumpulkan segala hulubalang, berbicara hendak pergi dengan kakap. "Barang lima buah kakap, kita amuk sahaja." Dan dipilih baginda orang yang pilihan, yang mahu mati dengan baginda, yang ada bininya tinggal di dalam Riau. Dan dapatlah orang seratus lima puluh.

Maka baginda pun pergi ke Riau. Sampai di Kuala Riau, berdayung masuk ke Pulau Bayan, dan kakap pundi dilanggarkan ke darat. Baginda pun naik ke darat semuanya. Dan satu perempuan dilepaskan baginda, memberitahu kepada paduka adinda, suruh turun ke perahu.

Dan segala orang Bugis pun geger, mengatakan musuh datang dari Siak. Dan lalu baginda melanggar kota Pulau Bayan. Maka beramuklah dengan orang Bugis. Kepada waktu itu pun, perempuan yang disuruh baginda pun sampailah, mendapatkan Tengku Kamariah, mengatakan Yang Dipertuan menyuruh turun.

Maka Tengku Kamariah pun lalu turun dengan segala dayang-dayang, harta yang kemas-kemas, dan bini segala orang yang kasihkan lakinya. Semuanya turunlah bersama-sama ke perahu dengan bini segala Orang Besar-besar, hulubalang, semuanya turun ke perahu belaka.

Setelah sudah Tengku Kamariah turun, maka disuruh memanggil baginda. Dan orang Bugis pun banyak matinya, ada lima puluh orang. Dan orang banyak pun undurlah masuk kota, tiada berani keluar.

Dan fikir orang Bugis banyak, "Tiada patut kita hendak bermati-mati oleh sebab anak bini orang. Dan jikalau ia hendak mengambil kota ini, boleh juga kita lawan. Dan akan ini orang Bugis, mati sebanyak itu mati sia-sialah sahaja, kerana baginda datang itu bersifat mati semuanya. Dan tiada dimakan tombak, dan tiada dimakan peluru pemuras."

Setelah tiada orang mengeluari baginda itu, maka baginda pun lalu berangkat turun ke perahu. Dan segala orang yang mengiringkan baginda masing-masing membawak benderang dan pemuras berberkas-berkas ke perahu, dengan Tundru, Batung dan keris segala Bugis yang mati dan yang lari itu.

Baginda pun dayung, lalu berlayar ke Siak. Dan tiada berani orang Bugis dan Melayu mengikut baginda itu. Dan baginda pun sampailah ke Siak, maka disambut orang dengan meriam. Maka baginda pun naik ke istana dengan putera baginda, Tengku Mahmud, adanya.

Hatta, tersebutlah Bandar Teras Telunjuk, lari ke Tapung Kanan, tiada berani ke Siak, takut dibunuh baginda. Dan berapa kali hamba raja Batung Siak Kecik dan Rempuk dan Siak Besar, mintak ampun, tiada juga baginda mahu. Maka masing-masing datang mendapat[kan] pengulu berempat, bermufakat, menyatakan hal segala hamba raja, tiada berpengulu.

Maka sekarang, Orang Besar-besar pun mengadap, memohonkan ampun Bandar Teras Telunjuk itu. Maka titah baginda, "Bagaimanakah bicaranya, kerana kita sudah bersumpah akan minum darahnya. Dan jikalau sudah mufakat dengan segala pegawai, baiklah, kita terimalah. Tetapi hendaklah pecahkan telunjuknya itu, kita hendak minum darahnya. Sudah itu, baharulah bawak mengadap kita."

Maka Bandar pun disuruh orang ambil di Tapung. Serta datang, lalu dilukai telunjuknya. Darah dipersembahkan kepada baginda, lalu diminum baginda. Maka segala Orang Besar-besar pun datang, membuang sapu tangan, duduk di tanah dengan Bandar itu.

Maka titah baginda, "Suruh naik segala pegawai-pegawai itu." Masing-masing menjunjung duli mengatakan, "Ampun tuanku Yang Dipertuan." Dan Bandar pun menjunjung duli baginda. Demikianlah adat raja Melayu.

Syahadan, maka tersebutlah perkataan anakanda baginda yang tinggal di Rawas. Maka ia pun hilirlah di Palembang. Maka terdengarlah khabar, paduka ayahanda sudah menjadi raja di dalam Siak. Dan Raja Alam pun datanglah ke Siak, mendapatkan paduka ayahanda.

Dan serta sampai ke Siak, lalu mengadap baginda. Dan baginda mendengar anakanda datang itu dari Palembang. Kerana tiada mengenal anakanda, serta bertemu lalu baginda bertanya, "Siapa nama emak engkau?" Maka lalu disembahkannya nama emak[nya]. Dan lalu baginda memeluk, mencium anakanda baginda.

Hatta, berapa lamanya, baginda berputera dengan gundik baginda, seorang lelaki, dinamai oleh baginda Tengku Sahak. Dan kemudian lagi, baginda berputera perempuan, dengan gundik juga, dinamakan Tengku Putih. Dan kemudian lagi, baginda berputera juga dengan kopik Tengku Sahak, lelaki, namanya Tengku Busu. Dan baginda berputera pula dengan gundik, perempuan, Tengku Subuh. Adalah putera baginda tujuh orang, lima lelaki, dua perempuan.

Dan anakanda baginda di Kedah, tiada masuk bilangan, Sultan Bekabut namanya. Alkisah, tersebutlah perkataan Raja Kedah, berkelahi berebut kebesaran, lalu berperang. Yang tuhanya, mintak bantu ke Riau dan kepada Daheng Parani; dan yang mudanya, mintak bantu ke Siak, kepada Yang Dipertuan Siak.

Hatta, Daheng Parani pun pergilah di Kedah. Setelah terdengar ke Siak, maka Yang Dipertuan Besar pun berlengkap perahu, lalu berangkat pergi ke Kedah. Dan serta sampai di Kedah, maka disambut oleh Raja Kedah. Maka dinikahkannya dengan adiknya. Dan akan Daheng Parani pun dinikahkannya dengan adiknya juga.

Maka Bugis dengan Minangkabau berperang, sampai dua tahun, tiada berhenti. Dan kepada satu hari, Daheng Parani datang melanggar benteng Yang Dipertuan Besar. Maka Daheng Parani sudah naik ke atas benteng dengan baju rantai. Baginda pun tengah beradu, dan terkejut. Baginda mengatakan musuh masuk mengamuk.

Maka baginda pun terjun di air, keluar kubu bersama-sama dengan Panglima Dalam, berenang di air, di tepi tebing, di dalam rumput. Dan Panglima Dalam di bawah, baginda di atas. Maka datanglah Bugis, mencari. Kata orang Bugis, "Di sinilah terjunnya." Maka direjahnya dengan tombak. Maka kena kepada baginda, tiada diperduli akan baginda. Maka lalu kena kakinya Panglima Dalam, lalu menjeritlah dia.

Maka baginda pun berenang ke seberang, Panglima Dalam bergantung di pinggang baginda. Dan baginda pun hendak lemas. Serta sampai baginda di seberang, tercapai dahan kayu. Dan baginda sudah banyak minum air. Dan baginda berteriak kepada orang yang ada duduk di dalam benteng baginda juga.

Dan didengar oleh orang yang jaga, suara baginda: Maka lalu datanglah segala hulubalang. Dan baginda pun didukung masuk ke dalam benteng. Dan baginda pun mengumpulkan segala hulubalang. Dan baginda pun bertitah kepada segala orang banyak, "Aku hendak melanggar Daheng Parani malam ini juga, kerana aku malu sangat, oleh sebab sapu tangan aku tinggal."

Maka [sembah] Encik Yahya pun berdatang sembah, "Patiklah tuanku, yang mengambil kubu duli tuanku itu." Dan titah baginda, "Barang siapa yang mendapatkan sapu tanganku, aku jadikan besar."

Dan segala hulubalang pun pergilah. Kepada waktu dinihari kecil, dilanggarnya oleh Encik Yahya. Setelah sampai kepada kubu itu, dan Encik Yahya pun melompat ke dalam kubu itu. Setelah datang ke dalam kubu itu, lalu dibukanya pintu kubu itu.

Maka segala orang banyak pun masuk dengan hulubalang, mengatakan, "Amuk!" Maka orang Bugis tengah tidur. Maka Encik Yahya pun bertempik, lalu mengamuk. Maka Daheng Parani pun terkejut, dan orang yang di dalam kubu pun banyak mati.

Maka dilihat Encik Yahya akan Daheng Parani. Maka ia pun segera melompat, mendapatkan Daheng Parani. Maka Daheng Parani pun terjun lari. Dan benteng itu pun dapat oleh Encik Yahya. Dan budak yang membawak tepak baginda, pergi sama-sama, mengamuk benteng itu. Akan bulang hulu baginda masih di dalam tempat baginda beradu itu.

Dan baginda pun datang mendapatkan Encik Yahya. Dan Encik Yahya pun menjunjung duli baginda. Maka dipeluk, dicium baginda, diberi persalin.

Dan sampailah dua tahun baginda di Kedah, berperang dengan Bugis, tiadalah bertentuan. Baginda pun dapat anak seorang, lelaki, dinamakan Sultan Bekabut.

Dan barang bila hendak berperang, berbunyilah gendang perang. Dan keluarlah Bugis dengan Minangkabau. Demikianlah sehari-hari. Maka mufakatlah hulubalang Bugis dengan Minangkabau, "Dan jikalau kita ikut kehendak raja kita ini, sepuluh tahun kita berperang juga, tiada berhenti. Apalah kesudahan kita, tiada boleh mencari makan lagi ini. Dan barang bila kita disuruhnya berperang, kita diam-diam sahajalah. Kita bunyikan bedil, jangan diberi peluru."

Setelah putusnya mufakat orang kecil, dibuatnya demikianlah. Dan Daheng Parani pun marah. Maka Daheng Parani berkirim surat kepada Yang Dipertuan, "Dan sudah puaslah kita mengadu rakyat, dan segala rakyat kedua belah pihak pun tiada mahu perang lagi. Dan baiklah kita mengadu beraja, sama seorang. Barang siapa yang berasa, membangunlah dia."

Maka surat pun sampailah kepada baginda, mengatakan Daheng Parani hendak bertikam sama seorang. Dan lalu dibalas baginda, "Barang bila Daheng Parani hendak datang, silakanlah." Maka Daheng Parani pun bersiaplah gurabnya, lalu memberitahu baginda, "Genap tengah hari esok, paduka kakanda datang."

Maka baginda fikir di dalam hatinya baginda, "Jikalau aku lawan bertikam, tiada tahan aku, kerana ia besar panjang, dengan baju rantainya. Baik aku bedil dengan lela." Maka di cekak akan di rumah kepada bendul selasar, sudah berisi peluru.

Maka Daheng Parani pun datang, berdayung mudik. Serta sampailah gurab Daheng Parani di lahut rumah baginda, maka Daheng Parani pun berdiri di atas beranda gurab. Maka baginda pun beryang-yang, "Jikalau janjiku belum mati di dalam Kedah ini, dan hendaklah Daheng Parani mati kepada hari ini, kena lelaku ini."

Maka lalu dipasangnya lela itu oleh baginda. Maka kenalah dada Daheng Parani, lalu mati. Dan gurab pun hanyut ke hilir, dan perang pun berhenti. Dan menanglah Raja Kedah. Adiknya menjadi raja.

Dan baginda pun memberitahu Raja Kedah, hendak pulang ke Siak. Dan baginda semayam di dalam Siak. Maka baginda pun berputera pula seorang lelaki, dinamakan Tengku Unus. Dan isteri baginda, Tengku Kamariah pun gering sangat, dan lalulah mangkat. Dan ditanamkan segala Orang Besar-besar betapa adat Raja-raja Besar, dimakamkan di Buantan.

Maka baginda pun sangatlah percintaan akan isteri baginda. Sehari-hari pergi ke makam isteri, dan tiadalah baginda perdulikan perintah negeri lagi, dan beradu di makam isterinya juga. Dan baginda pun seperti orang gila.

Maka anakanda baginda, Raja Alam, dijadikan Yamtuan Muda. Dan kepada niat baginda, anakanda baginda, Tengku Mahmud, hendak dijadikan Yang Dipertuan Besar.

Hatta, orang Riau Melayu dengan Bugis sudah mufakat hendak melanggar Siak. Maka kedengaranlah kepada Yamtuan Muda Raja Alam. Maka lalu bersiap penjajab, membaikkan kubu. Dan penjajab Siak tiga puluh buah. Dan orang Riau melanggar delapan puluh buah perahu. Dan mufakat dengan Raja Terengganu.

Setelah terdengarlah akan perahu Riau sudah ada di Bukit Batu, dan orang Bukit Batu lari masuk Siak. Dan penjajap Siak pun hilirlah di hulu Pulau Guntung. Diaturlah penjajap, seberang-menyeberang. Maka Yamtuan Muda Raja Alam pun hilir, menjadi rajanya. Dan Tengku Mahmud, rajanya. Dan Tengku Mahmud bersama-sama juga, dan semua perahu Siak menanti di kuala, di hulu, Pulau Guntung, Sungai Sabak. Maka diaturnya perahu yang tiga puluh.

Maka orang Riau pun masuk kuala Siak. Dan serta sampai di Pulau Guntung, maka perahu Riau pun berhentilah di Pulau Guntung itu, sama-sama berpandangan. Sehari-hari bersiap perahu juga, seorang tiada langgar-melanggar.

Sampailah tiga bulan, maka orang Siak pun menyuruh memberitahu kepada orang Riau, "Apatah lagi dinanti, datang dari Riau? Hendak meminangkan, sekarang sudahlah sedia. Nasi pun sudah terhidang, menanti makan sahaja."

Dan dibalas orang Riau. "Sebab maka datang ke Siak ini, sahaja hendak mendapatkan tunanganlah." Sudah itu, orang Riau tiada juga datang melanggar. Dan orang Siak pun tiada juga melanggar, maka orang Siak berteriak, "Jikalau orang Riau tidak mahu melanggar, orang Siaklah melanggar."

Maka orang Siak pun bersiap perahunya, dan membuang kajang, mendirikan tangannya. Dan dayung pun dirampatnya, [dan] tetapi pendarat masih bertambat juga. Maka orang Riau terkejut. Masing-masing bersiap perahunya, menanti orang Siak melanggar, tiada juga.

Maka dilihat orang Riau pendarat orang Siak masih bertambat juga, maka orang Riau berkata, "Orang Siak ini mengugut kita. Dan bilakah dia berani datang, perahunya hanyalah tiga puluh buah, dan perahu kita ini delapan puluh."

Dan sampai tiga hari, maka dibuatnya demikian juga. Maka tiada perduli orang Riau, dikatakannya mengugut juga. Tiadalah ia perduli, dan banyak ia ke darat dan ke hutan. Maka segeralah dilepaskan pendaratnya, lalu dilanggarnya, selalu dibedilnya dengan meriam.

Maka orang Riau pun terkejut, lalu terjun ke air dan terlalu banyak matinya. Dan perahu orang Riau semuanya delapan puluh buah, dapat belaka. Akan perahu kenaikan Raja Sulaiman [yang] dilepaskan orang Siak, kerana Tengku Mahmud murka, tiada memberi orang mengikut. Dan lepas empat puluh buah perahu. Maka Raja Sulaiman pun kembali ke Riau, adanya.

Maka tersebutlah perkataan Yang Dipertuan Besar. Selama isteri baginda mangkat itu, maka baginda pun tiada tentu lagi, gila-gila, pergi ke makam Marhum Bungsu. Dan seperti Yamtuan Muda Raja Alam, tiada mufakat dengan adinda baginda, Tengku Mahmud. Dan dia hendak menjadi Yang Dipertuan Besar di dalam Siak, kerana dia tua.

Dan Orang Besar-besar di dalam Siak memegang titah Yang Dipertuan Besar, mengatakan Tengku Mahmud itu menjadi Yang Dipertuan Besar di dalam Siak, dari kerana baginda putera yang gahara. Dan tiada berapa lamanya, maka kedua baginda pun peranglah dua bersaudara, dari sebab kebesaran negeri.

Akan Tengku Mahmud, di dalam Kota Besar; dan Yamtuan Muda Raja Alam, di dalam Kota Tuan Besar. Segala Orang Besar-besar datang mengadap Yang Dipertuan, persembahkan, "Paduka anakanda perang, tuanku." Maka titah baginda, "Barang siapa yang hidup, itulah anak kita."

Jikalau berbunyi bedil, maka ditanya baginda, "Bedil apakah itu?" Maka sembah orang, "Bedil anakanda melawan orang Riau." Maka baginda pun suka. Dan tiada berapa lamanya berperang berdua saudara, maka Yamtuan Muda Raja Alam pun undurlah, keluar dari Siak, membawak anak baginda, dibawak pergi ke Batu Bahara. Dan anak perempuan ditinggal di situ. Yamtuan Muda Raja Alam pergi ke Palembang. Dari situ, lalu ke darat Negeri Deli. Dapat kuasa, lalu bersiap perahu di Batu Bahara; dan lalu ke Siak, dilanggar kembali.

Dan waktu itu, Yang Dipertuan Besar sudah mangkat. Maka Siak pun dapat oleh Yamtuan Raja Alam, dan Sultan Mahmud pun lari ke Pelalawan. Dan baginda keluar dari Pelalawan, lalu masuk Riau dan mintak bantuan kepada Yang Dipertuan Raja Sulaiman. Segala Raja Bugis tiada mahu membantu. Maka baginda pun marah, dan lalu baginda bertitah di hadapan segala raja-raja, "Dan siapa orang boleh melarang akan aku hendak mengambil meriam dan penjajap dalam Riau ini? Bukannya orang Bugis yang punya pusaka, aku yang punya pusaka. Tiada orang boleh perduli."

Dan bertitah Yang Dipertuan Raja Sulaiman, "Biarlah, jangan dilarang, kerana anak saudara kita hanyalah seorang ini." Maka Sultan Mahmud pun menurunkan penjajap serta dengan meriamnya sekali. Dan segala rakyat pesukuan disuruh kumpulkan, dan menyuruh ke pulau yang tujuh. Dan semuanya datang mengadap baginda. Maka baginda pun berangkat ke Siak. Serta sampai, lalu dilanggar baginda, Siak. Maka Siak pun dapatlah pula.

Yamtuan Muda Alam lari ke Petapahan, dan lalu naik ke Pagaruyung, mufakat dengan Yamtuan Raja Beralah. Dan sebab ia malu naik mahkota, alah oleh Marhum Buantan. Dan membawak orang Minangkabau dua ribu, dan berjanji dengan Yamtuan Muda Raja Alam, bila alah Siak, anak yang tuha, Siak dipulangkan ke Pagaruyung.

Maka Yamtuan Muda Raja Alam pun turunlah ke Siak bersama-sama dengan Yamtuan Raja Beralah. Maka berperanglah. Dikepungnya oleh orang Minangkabau, tiada boleh. Hendak ke sungai dibedilnya. Dan tiada bertahan lagi. Oleh orang Siak, sudah lama bertungguan.

Maka baginda Sultan Mahmud pun hundurlah Pelalawan. Maka baginda tinggalkan pengasuhnya, bersama-sama dengan anakanda baginda. Dan sampai ke Pelalawan, maka baginda berlayar ke Riau, mintak bantu kepada Yang Dipertuan Raja Sulaiman. Lalu dibantu oleh orang Riau dan Terengganu dan Pahang. Setelah siap perahu ketika, hendak berangkat.

Syahadan, tatkala Sultan Mahmud pergi ke Riau itu, putera baginda semuanya tinggal di dalam Siak. Pertama, yang tuha, perempuan bernama Tengku Embung Besar. Nama kerat pusatnya Tengku Aisah, satu ibu dengan Tengku Musa. Bondanya anak Raja Lelawangsa. Dan akan isteri Sultan Mahmud Syah itu, anak Daheng Matekuh, bangsa Wajo´, digelar Ungku Puan. Baginda berputera seorang lelaki, dinamakan baginda Tengku Semail.* Dan lagi seorang, Tengku Daud, satu bonda dengan Tengku Semail. Dan lagi, putera baginda dengan anak pegawai juga, tiga orang, satu ibu. Yang tuha, Tengku Abdullah dan Tengku Abdul Rahman. Yang bongsunya, perempuan, Tengku Sonit. Dan lagi, Tengku Kamat, dan Tengku Baki, dan Tengku Husain, dan Tengku Yusuf, dan Tengku Muhammad, dan Tengku Busu, dan Tengku Hasan, dan Tengku Taib, dan Tengku Yasin. Yang perempuan, Tengku Saliah, dan Tengku Jikar, dan Tengku Hitam, dan Tengku Halimah. Dan yang mati, tiada tersebutlah.

Dan akan Yamtuan Muda Raja Alam pun berputera juga. Ibunya anak pegawai juga, berputera Tengku Muhammad Ali dan Tengku Akil, satu ibu. Dan perempuan empat, yang tuhanya Tengku Embung Badariah, dan jadi bini Sayyid Seman,* dan Tengku Mas Ayu, dan Tengku Sokma, dan Tengku Awa.

Hatta, tatkala Sultan Mahmud mintak bantu di Riau, datanglah surat dari Siak, mengatakan Tengku Akil diamuk orang Bulang, tatkala hendak ke Riau, merajuk dari Siak, mati, tercampak di lahut. Itulah paduka kakanda mintak bunuhkan.

Maka marahlah Datuk Bendahara, "Mengapa Raja Alam mintak bunuhkan, orang Riau ini bukan takluk ke Siak?" Setelah baginda mendengar kata Bendahara itu, maka Sultan Mahmud pun murka, lalu baginda bertitah, "Jikalau tiada dapat si gila yang derhaka itu, kita sendiri pergi membunuh anak cucunya."

Maka segeralah Yamtuan Raja Sulaiman menyuruh membunuh si gila itu. Hatta, maka Yamtuan Raja Sulaiman pun berangkatlah bersama-sama dengan anakanda baginda, Sultan Mahmud Syah. Maka sampai di kuala Siak, dan kedengaranlah khabar ke Siak.

Maka penjajap Siak pun keluar, sampailah di hulu Guntung. Sultan Mahmud berkakap dua puluh buah. Baginda lalu menyuruh raja, pergi ke pulau yang tujuh, memanggil segala penghulunya orang pulau. Dan Yamtuan Raja Sulaiman muafakat kepada sehari-hari, hendak melanggar, tiada juga terlanggar.

Dan tersebutlah perkataan Yamtuan Raja Alam. Ia menyuruh puteranya, Tengku Muhammad Ali, yang beristeri akan Tengku Embung Besar, putera baginda Sultan Mahmud Syah yang tuhanya sekali. Dan disuruh oleh Yamtuan Raja Alam mengambil putera adinda baginda Sultan Mahmud Syah, hendak dibuat lapis apilan, jika datang langgar Sultan Mahmud.

Maka Tengku Muhammad Ali pun mudik ke negeri. Dan kedengaranlah khabar kepada pengasuhnya yang tinggal menunggu anakanda baginda. Setelah mendengar khabar yang demikian itu, lalu menyuruh orang membawak surat, berjalan darat ke Pulau Guntung, mendapatkan Sultan Mahmud. Setelah dibaca baginda, maka baginda terlalu murka. Maka titah baginda, "Meski anakku dibuat lapis apilan sekalipun, aku bedil juga. Jika ia bertuah, ayam hendak disabung, tiada disambar helang."

Maka baginda pun pergi mengadap ayahanda baginda, Yamtuan Raja Sulaiman, berkata, "Jikalau orang Riau takut hendak melanggar dahulu, biarlah patik mudik, membelah dengan kakap. Dan barang bila patik sudah ada di hulu, datanglah langgar dari hilir." Dan maka bercakaplah segala Raja-raja Riau, "Jikalau Yang Dipertuan mudik, patik adalah melanggar. Kepada hemat patik, jikalau tiada termudikkan."

Maka baginda pun tertawa, "Jikalau tiada termudikkan oleh sahaya, bukanlah kita putera Marhum yang Mangkat di Buantan." Dan baginda pun kembali bersiap perahu. Dan itu malam juga, baginda berangkat. Dan kepada waktu dinihari, maka baginda pun berdayunglah mudik. Dan yang perahu yang banyak mengikut di belakang.

Dan orang Siak berteriak mengatakan, "Jaga, jaga!" dan mulutnya, matanya kejam, memegang buluh pemadat. Dan kakap baginda lalu dicelah dayung penjajap itu. Dan baginda pun bergantung di belakang kenaikan Yamtuan Raja Alam. Dan kakap yang banyak pun lepaslah semuanya ke hulu. Dan baharulah baginda berlepas dari belakang perahu Yamtuan Raja Alam.

Dan mudiklah baginda sampai di hilir Buantan. Maka baginda bertemu dengan anakanda baginda, Tengku Muhammad Ali, hilir membawak putera baginda. Maka Tengku Muhammad Ali pun terkejut melihat kakap mudik. Maka dilihatnya paduka ayahanda Sultan Mahmud. Dan baginda memanggil anakanda baginda.

Maka Tengku Muhammad Ali pun naik mengadap baginda. Maka lalu baginda bertitah kepada Tengku Muhammad Ali, "Sampai hati engkau hendak membuat adik engkau lapis apilah! Dan baiklah engkau menyuruh kepada abang, katakan, aku ada sudah di hulu dan engkau mari sama-sama dengan aku."

Maka lalu baginda mudik sama-sama, dan sampailah ke negeri, berhenti di lahut kota, dan menyuruh mengambil anakanda baginda. Dan sembah segala panglima, "Baiklah tuanku, kita ambil kota ini, tentulah dapat." Maka titah baginda, "Malu kita mengambil, negeri rajanya tiada."

Setelah sudah anakanda baginda diambil baginda, lalu diam kepada kota, Kota Tuan Besar, di seberang. Dan orang memberitahu kepada Yamtuan Raja Alam. Maka baginda terkejut, lalu mudik lima buah perahu, dan dua puluh buah yang tinggal di kuala.

Syahadan, apabila orang Riau melihat Sultan Mahmud sudah mudik itu, maka mufakatlah segala raja-raja. Setengah hendak mudik, dan setengah tiada berani mudik, takut ditipu oleh orang Siak, kerana tiada patut kepada akal [yang] perahu kakap itu boleh lepas mudik. Dan tiadalah jadi orang Riau melanggar.

Hatta, tersebutlah perkataan Sultan Mahmud, duduk di dalam Kota Tuan Besar. Maka baranglah tiga bulan, maka baginda pun tiada dapat makan lagi. Dinanti baginda orang Riau, pun tiada datang melanggar, dan baginda pun keluarlah dari Kota Tuan Besar, hendak membelah ke hulu.

Dan hari pun malam. Baginda siap perahu kakap yang dua puluh, dan anakanda baginda, dimuatkan masuk perahu, lelaki dan perempuan semuanya. Dan orang Siak sudah jaga di seberang kubu. Dan perahu lima buah ditaruh sebelah hulu. Dan baginda pun menyuruh berteriak, "Amuk, amuk!"

Maka perahu itu didayung ke seberang, dan dibedil orang di kubu seberang. Dan baginda kembali ke hilir, diteriakkan, "Amuk!" Maka dibedil orang perahu yang jaga di hilir. Maka baginda pun mudiklah ke hulu.

Maka lepaslah baginda, dan lalu masuk ke Sungai Buantan. Dan Panglima Putih disuruh jaga di kuala sungai, berjanji, barang bila ada orang musuh datang, hendaklah membedil, memberitahu. Dan baginda pun memanggil orang Kalang, disuruh mendukung anakanda baginda.

Dan pagi-pagi, baginda hendak berangkat. Dan orang Siak pun datang hendak melanggar baginda. Orang lima ratus, dan panglimanya Emping Berantah. Dan orang Siak pun sampailah di Kuala Buantan. Panglima Putih lagi tidur, dan kawan-kawannya ke darat, mengambil kayu api.

Dan Panglima Putih dibedil orang dengan pemuras. Dia tengah tidur, lalu mati. Dan kedengaranlah pada baginda bunyi pemuras itu. Maka titah baginda, "Lekas-lekas makan, boleh berjalan, kerana musuh sudah datang, Si Putih memberi alamat."

Dan baginda pun tengah santap, memegang panggang hayam. Maka musuh pun datang dari belakang, membedil. Dan baginda pun menyuruh larikan paduka anakanda sekalian lekas-lekas. Dan baginda tinggal sama-sama dengan panglima baginda dua puluh orang, yang bertahan dengan baginda, kerana baginda lagi santap.

Dan melompat seorang panglima musuh, ditikamnya belakang baginda, tiada lut. Maka tercampaklah panggang hayam dari baginda. Maka Sultan Mahmud pun terlalu murka, lalu baginda melompat. Diparang baginda dengan pedang kerajaan baginda kepada orang yang menikam baginda, penggal dua.

Maka baginda pun beramuklah dengan orang Siak yang empat ratus itu. Maka segala hulubalang baginda yang dua puluh itu semua mengamuk sama-sama baginda. Maka terlalu banyak matinya dan lukanya sebelah musuh. Akan hulubalang baginda, seorang tiada yang cacat, kerana tiada dimakan besi semuanya, kerana sudah diusap baginda dadanya.

Maka orang Siak tiada tertahan, kerana banyak matinya. Maka orang Siak pun lari, dan lima puluh orang Siak yang mati.

Maka baginda pun berjalan ke Pelalawan. Serta sampai, lalu baginda mintak perahu kepada Maharaja, dapat empat buah. Dan baginda pun hilir,. mengambil kuala Siak. Dan anakanda baginda tinggal di Bukit Batu.

Baginda pun mudik mendapatkan Raja Sulaiman, dan serta baginda naik mengadap. Maka segala Raja-raja Melayu dan Bugis pun ada berkumpul, mengadap. Dan baginda pun bertitah kepada paduka ayahanda Yamtuan Raja Sulaiman, "Dan apakah sebab maka tuanku tiada datang melanggar mudik, bukan sudah berjanji?"

Dan Yamtuan Raja Sulaiman pun menjawab, "Khabar, anakanda dan ayahanda suruh orang Siak melanggar, tiada orang mahu." Dan baginda pun menyembah kepada ayahanda baginda, lalu baginda mengadap kepada segala Raja-raja Melayu dan Bugis.

Maka baginda pun memaki, tiada berkecuali, "Dan sebab aku mintak tolong ke Riau, aku katakan lelaki, dan rupanya perempuan. Dan terlebih engkau pulang, dan aku dengan bapaku tiada boleh engkau semua perduli. Dan jikalau baginda ini dapat malu, aku persembahkan nyawaku."

Setelah Yamtuan Raja 459